Friday, May 16, 2008

Sejenak Bersama Dar Ibnul Jauzi

Inilah himpunan beberapa kitab di Dar Ibnul jauzi
Lagi himpunan kitab di kedai Dar Ibnul Jauzi
Lorong kitab
Ustaz Muhammad Mohsin, mantan Presiden PERMATA yang bermurah hati memandu kereta untuk membawa kitab-kitab ke Mu'tah. JazakALLAH
Syeikh Mustafa , berasal dari Ma'an
Syeikh Mustafa sedang melayan kerenah pelanggannya
Syeikh Mustafa sedang mencari kitab
Inilah pemandangan hadapan Dar Ibnul Jauzi
Mungkin ramai di kalangan pembeli tidak mengetahui di manakah Dar Ibnul Jauzi. Ia terletak di 'Abdali, 'Amman di deretan kedai-kedai kitab. Kedai ini terletak bersebelahan dengan Maktabah al-Athariyyah. Ibnul Jauzi merupakan Dar Ibnul Jauzi ( bermaksud kedai cetak kitab-kitab berlesen ) dan juga Maktabah Ibnul Jauzi ( kedai buku berlesen ). Walaupun kedainya nampak tidak hebat, namun pemiliknya ; Syeikh Mustafa dan Syeikh Nidhol cukup ramah dan pandai melayan pelanggan. malah kami bersyukur kerana mereka meletakkan kepercayaan kepada kami untuk menjayakan Maktabah Dimasyq ini .

al-Muhazzab

المهذب في فقه الإمام الشافعي رضي الله عنه

Al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam asy-Syafi’ie

– RadiyALLAhu ‘anhu -

Pengarang :

Asy- Syeikh al-Imam Abi Ishaq Ibrahim bin ‘Ali bin Yusof al-Fairuz Aabadi asy-Syirazi

Tahqiq & Ta’liq :

Asy-Syeikh ‘Adil Ahmad ‘Abdul Maujud & asy-Syeikh ‘Ali Muhammad ‘Awadh

Cetakan & Edaran :

Cetakan Pertama ( tahun 1424 H – 2003 M )

Dar al-Ma’rifah, Lubnan

Jilid :

3 Jilid

Penerangan Kitab :

Kitab ini merupakan kitab asas dan utama dalam Fiqh Mazhab asy-Syafi’e . Ramai ulamak Islam yang telah meletakkan syarah bagi kitab ini. Antara kitab syarahnya adalah kitab al-Majmu’. Kitab ini telah dita’liq dan ditahqiq hadithnya, dengan ini memudahkan para penuntut ilmu membuat rujukan. Wajar dimiliki para pelajar Syari’ah untuk dijadikan panduan semasa pulang mengajar di Malaysia kelak.

Ciri-ciri Khas :

Kitab ini berbaris dan sepenuhnya. Ini memudahkan pembaca bukan Arab membaca dan memahami matan kitab ini. Di samping itu cetakan ini adalah cetakan yang disemak dan diteliti oleh pakar-pakar. Justeru , pelbagai ta’liq dan komentar dinyatakan di nota kaki kitab ini. Cetakan ini juga cetakan berwarna.

Perhatian :

Kitab ini bukanlah satu kitab yang mudah. Bahasanya agak tinggi dan padat. Justeru , kebanyakan pembeli selesa membeli al-Majmu’. Namun , cetakan ini in sya Allah tidak merugikan pembaca kerana lengkap berbaris dan beserta tahqiq dan ta’liq yang sewajarnya.

Harga :

JD 15.750 sahaja !

Thursday, May 15, 2008

al-Hidayah Syarah Bidayatul Mubtadi

الهداية شرح بداية المبتدي

Al-Hidayah Syarah Bidayatul Mubtadi

Pengarang :

Syeikh al-Islam Burhanuddin Abi al-hasan ; ‘Ali bin Abi Bakar bin ‘Abdul Jalil ar-Rasydani al-Marghinani ( wafat 593 H )

Cetakan & Edaran :

Cetakan Pertama ( tahun 1410 H – 1990 M )

Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah , Lubnan

Jilid :

2 Jilid

Penerangan Kitab :

Kitab ini adalah syarah bagi kitab Bidayatul Mubtadi yang popular di Universiti-universiti Jordan khusus apabila membicarakan Fiqh Mazhab Hanafi. Pengarang kitab ini dalam syarahnya turut membentangkan pendapat mazhab Syafie dan sesekali pendapat mazhab Maliki dan membandingkan serta menjawab berdasarkan pandangan mazhab Hanafi.

Ciri-ciri Khas :

Kitab ini diguna pakai khusus dalam subjek Fiqh Ibadat di Universiti Mu’tah.

Perhatian :

Muqaddimah kitab ini dilengkapkan dengan maklumat penggunaan kitab ini disamping disertakan istilah-istilah khas yang banyak ditulis dalam kitab.

Harga :

JD 7.500 sahaja !

al-Qadim wa al-Jadid fi Fiqh asy-Syafi'ie

القديم و الجديد في فقه الشافعي

Al-Qadim wa al-Jadid fi Fiqh asy-Syafi’ie

Pengarang :

Dr Lamin an-Naji

Cetakan & Edaran :

Cetakan Pertama ( tahun 1428 H – 2007 M )

Dar Ibnul Qayyim, Arab Saudi & Dar Ibn ‘Affan , Mesir

Jilid :

2 Jilid

Penerangan Kitab :

Untuk memahami ijtihad Imam Syafi’ie dengan lebih mendalam, pembaca perlu mengetahui apakah dia Qaul Qadim dan Qaul Jadid. Penulis kitab ini berusaha untuk menghimpunkan Qaul Qadim dan Jadid ini, seterusnya dinilai dan diteliti. Hasil penilaian ini menunjukkan kepada ketinggian ilmu Maqasid dan kepakaran Imam Syafi’ie dalam berijtihad. Kitab ini menyenaraikan beberapa Qaul tersebut dengan huraiannya.

Ciri-ciri Khas :

Kitab ini asalnya merupakan tesis yang disediakan untuk peringkat Universiti.

Perhatian :

Kepada para pembaca kitab ini ; di samping mengetahui qaul Qadim dan Jadid Imam Syafi’ie , anda juga akan dapat berkenalan dengan ulamak-ulamak Mazhab Syafi’ie dan penulisan mereka.

Harga :

JD 10.250 sahaja !

al-Masail al-Usuliyyah

المسائل الأصولية المتعلقة بالأدلة الشرعية

التي خالف فيها ابن قدامة في " الروضة " ، الغزالي في " المستصفى "

استقراء و دراسة مقارنة

Al-Masail al-Usuliyyah al-Muta’alliqah bil Adillah asy-Syar’iyyah

Allati Kholafa Fiha Ibn Quddamah fi “ ar-Raudhoh” , al-Ghazali fi “al-Mustasfa”

Istiqra’ wa Dirasah Muqaranah

Pengarang :

Dr ‘Abdurrahman bin ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdullah as-Sudais

Tenaga Pengajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Universiti Ummul Qura

Semakan Bersama ( Munaqasyah MA ) :

Asy-Syeikh ‘Abdurrazak ‘Afifi & asy-Syeikh Dr ‘Abdurrahman ad-Darwish & Dr Ahmad bin ‘Ali Sir al-Mubaraki & Dr Ibrahim bin ‘Abdullah bin Aali Ibrahim

Cetakan & Edaran :

Cetakan Pertama ( tahun 1426 H – 2005 M )

Maktabah ar-Rusyd , ar-Riyadh

Jilid :

3 Jilid

Penerangan Kitab :

Kitab ini meruapakan tesis MA penulis. Beliau menumpukan sepenuhnya perbincangan dan kajian beliau dalam ilmu Usul berdasarkan 2 buah kitab ulamak Usul terkemuka iaitu ar-Raudhah dan al-Mustasfa. Beliau menjelaskan perselisihan antara kedua-dua kitab dan beberapa penerangan dan huraian tentang masalah-masalah usul yang sering menjadi kekeliruan.

Ciri-ciri Khas :

Kitab ini amat istimewa khususnya untuk pembaca bukan berbangsa Arab kerana ia berbaris lengkap, dan agak sukar untuk menemui kitab yang berbaris sepenuhnya seperti ini. Perbincangan dalam kitab ini agak terperinci dan padat.

Perhatian :

Kitab ini sesuai dimiliki oleh semua pelajar Syari’ah dan anda perlulah mempunyai asas sekurang-kurangnya dalam ilmu usul Feqh agar anda tidak pening ketika membacanya.

Harga :

JD 14.250 sahaja !

al-Bidayah wa an-Nihayah

البداية و النهاية

Al-Bidayah wa an-Nihayah

Pengarang :

Al-Imam al-Hafiz al-Muarrikh Abi al-Fida’ ; Isma’il bin Kathir ( 701 H – 774 H )

Tahqiq, Takhrij & Ta’liq Hadith :

Dr Muhyiddin Dib Mastu & Dr ‘Ali Abu Zaid Abu Zaid

Semakan :

As-Syeikh ‘Abdul Qadir al-Arnaout & Dr Basyar ‘Iwadh Ma’ruf

Cetakan & Edaran :

Cetakan Pertama ( tahun 1428 H – 2007 M )

Dar Ibn Kathir , Dimasyq - Beirut

Jilid :

11 Jilid

( yang merangkumi 20 Juzu’ , jilid 10 - 11 adalah indeks keseluruhan kitab, malah indeks ini disediakan dengan cukup terperinci dan memudahkan sesiapa merujuk sebarang maklumat dalam kitab ini )

Penerangan Kitab :

Kitab ini adalah kitab sejarah Islam yang terkenal dan ditulis oleh ulamak Islam terkemuka; Ibn Kathir. Kitab ini telah ditahqiq dan disemak darjat setiap riwayatnya demi memastikan sumber-sumber sejarah yang tersusun indah ini benar-benar sahih dan tidak diragui lagi. Kitab ini menghimpunkan sejarah bermula dari diciptanya makhluk hingga ke tahun 768 H. Manakala dalam jilid ke 9 ( iaitu Juzu’ 17 ) Ibn Kathir telah memuatkan perihal an-Nihayah iaitu hari Akhirat. Dan jilid ini telah ditahqiq khusus oleh pakar Hadith terkemuka iaitu as-Syeikh ‘Abdul Qadir al-Arnaout.

Ciri-ciri Khas :

Proses tahqiq dan kajian kitab ini telah diketuai oleh pakar hadith terkemuka , as-Syeikh ‘Abdul Qadir al-Arnaout. Cetakan kitab ini cantik, menarik dan berwarna di samping menggunakan jenis kertas ‘ Syamu ‘ iaitu kertas kuning berkualiti tinggi.

Perhatian :

Kepada para pembaca kitab ini ; anda cukup bertuah kerana kitab ini dilengkapi dengan maklumat lengkap Ibn Kathir di samping anda turut didedahkan dengan maklumat am berkenaan kitab ini sejak zamn penulisannya. Anda juga didedahkan dengan proses kitab ini ditahqiq dan disemak semula.

Harga :

JD 86.500 sahaja !

Anis as-Sari

أنيس الساري

في تخريج و تحقيق الأحاديث التي ذكرها الحافظ ابن حجر العسقلاني في فتح الباري

Anis as-Sari

Fi Takhrij wa Tahqiq al-Ahadith allati Zakaraha al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani fi Fathil Bari

Pengarang :

Abu Huzaifah; Nabil bin Mansur bin Ya’qub al-Bassoroh

Semakan :

As-Syeikh Dr. Jasim bin Muhammad bin Mahalhal al-Yasin

Cetakan & Edaran :

Cetakan Pertama ( tahun 1426 H – 2005 M )

Muassasah ar-Rayyan , Lubnan & Muassasah as-Samahah

Jilid :

11 Jilid

( Jilid 1 – 9 dinamakan sebagai Majmu’ah al-Ula , jilid 10 – 11 Majmu’ah at-Thaniyyah . Jilid 11 disertakan dengan Indeks penuh kitab berdasarkan Permulaan Hadith dan juga berdasarkan Kitab dan Bab )

Penerangan Kitab :

Kitab ini ditulis khas sebagai khidmat kepada Hadith Baginda – selawat dan salam ke atasnya - . Pengarang kitab ini telah mentahqiq ( memastikan tahap dan darjat ) hadith-hadith yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Fathul Bari Syarah Sohih al-Bukhari. Malah pentahqiq juga telah mentakhrij ( mengeluarkan sumber asal ) hadith-hadith yang dinyatakan Imam Ibnu Hajar yang dinyatakan sumbernya, di samping menentukan darjatnya. Penulis kitab ini telah menggunakan masa selama hampir 20 tahun sejak tahun 1979 M untuk menyempurnakan tahqiq ini.

Ciri-ciri Khas :

Kitab ini turut dipuji oleh pakar Hadith dari Fakulti Syari’ah, Universiti Kuwait, iaitu Prof Mahmud bin Ahmad Tohhan. Kitab ini dibahagikan dalam 2 Majmu’ah. Majmu’ah pertama adalah tahqiq hadith-hadith mengikut huruf Mu’jam. Maka ini memudahkan pembaca merujuk dan mencari hadith. Majmu’ah kedua berdasarkan kepada susunan mengikut kitab Fathul Bari yang asal.

Perhatian :

Kepada para pembaca kitab ini ; ( dan juga mana-mana kitab sebenarnya ) , pastikan anda membaca Muqaddimah penulis dengan teliti. Jika tidak anda akan hanyut dan lemas dengan pelbagai istilah dan keliru dengan kaedah penulisan kitab ini. Kitab ini umpama ensiklopedia yang menerangkan secara terperinci dan padat darjat setiap hadith yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar dalam Fathul Bari . Kitab ini bukanlah kitab yang sesuai bagi mereka yang baru mempelajari ilmu Hadith, namun anda perlulah memahami ilmu Manahij Muhaddithin , ilmu berkenaan Sohih Bukhari secara khusus dan berkenaan Fathul Bari secara khusus serta mempunyai asas dalam ilmu Takhrij dan Jarah wa Ta’dil.

Harga :

JD 60 sahaja !

Pemandangan Sekitar Maktabah Dimasyq

Inilah pemandangan Maktabah Dimasyq ketika baru beroperasi pada 10 Mei lalu. Namun alHamdulILLAH kini semua rak tersebut telah dipenuhi kitab dan bakal menambah kepada 2 rak lagi. Banyak kitab-kitab yang tidak dapat dipamerkan kerana kekurangan ruang. Maka para sahabat, jangan lepaskan peluang anda . Berkunjunglah hari ini juga ke Maktabah Dimasyq.

Kenali Kitab di Maktabah Dimasyq

Maktabah Dimasyq bukan sahaja menjual kitab-kitab berjilid, kami juga menjual versi baru kitab-kitab Feqh yang telah dimampatkan , seperti kitab Fathul Bari yang asalnya 15 jilid boleh didapati hanya dengan 3 jilid sahaja. Begitu juga Sunan Sittah boleh didapati dalam 2 jilid yang besar sahaja. Selain itu juga, anda boleh mendapatkan himpunan ratusan kitab Feqh , kitab Tafsir dan kitab Hadith dalam CD khas seperti al-Maktabah al-Alifiyyah , Maktabah al-Fiqh wa Usuluh , dan Maktabah Tafsir.

Wednesday, May 14, 2008

Iklan Maktabah Dimasyq

Maktabah Dimasyq

Mu’tah , 1 Jamadil Awwal – Penduduk sekitar Hayyu Syuweih hari ini gempar dengan penghantaran berkotak-kotak kitab ke sebuah rumah berhadapan Madaris al-Himmah Nahwu al-Qimmah. Setelah disiasati, rumah tersebut rupa-rupanya disewa oleh sekumpulan siswa Malaysia yang menuntut di Universiti Mu’tah. Apabila ditanya, ketua rumah mereka, Sdr Adzhar menjelaskan bahawa mereka membuka kedai buku khusus untuk mahasiswa Malaysia dengan nama Maktabah Dimasyq. Tujuan Maktabah ini dibuka adalah untuk kemudahan dan kebajikan mahasiswa Malaysia, di samping menjimatkan masa mereka dari ke ‘Amman dan mengurangkan kos membeli kitab-kitab berkenaan.

Buat masa ini, Maktabah Dimasyq ini masih dalam proses melengkapkan stok-stok kitabnya. Oleh itu, mereka akan membuka tempahan kitab-kitab yang diperlukan mahasiswa Malaysia dan menguruskan beliannya dari ‘Amman dalam masa seminggu. Maktabah Dimasyq boleh dikunjungi seperti waktu biasa oleh siswa. Namun bagi siswi, waktu kunjungan yang ditetapkan adalah pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan cuti am; mulai jam 2 petang ke 7 petang. Kunjungan sebaiknya dimaklumkan pada talian berikut : 03 – 236 0796 atau 0779 590 342 atau 0779 072 696 atau 0779 824 321 atau 0779 824 336.

Selain itu, mereka turut menyediakan maklumat berkenaan Maktabah ini di alam maya dan laman mereka boleh dikunjungi di alamat : http://maktabahdimasyq.blogspot.com - TANPANAMA